Satu (1) kursus telah dianjurkan oleh Unit Keusahawanan iaitu Kursus ‘Training of Trainers’ (TOT) Kepada Guru Pembimbing Program PROTUNe 2020 Peringkat Negeri Kedah, telahpun berjaya mengumpulkan sebanyak 30 buah sekolah beserta penyertaan seramai 56 orang guru-guru pembimbing dari sekolah-sekolah serata negeri Kedah. Kursus ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada guru-guru pembimbing yang mengelola syarikat-syarikat Program Tunas Niaga (PROTUNe) di sekolah tentang pelaksanaan program ini secara menyeluruh agar matlamat pelaksanaannya untuk menanam semangat keusahawanan, jatidiri dan berdikari dalam kalangan generasi muda dapat tercapai dengan jayanya. 

Kursus tersebut dimulakan dengan penyampaian ucapan aluan dan perasmian oleh Puan Anita binti Salleh, Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan PKNK. Unit Keusahawanan telahpun melantik Encik Mohd Ariffin bin Ibrahim selaku fasilitator daripada Idola Global Academy yang telahpun menyambung kursus pada hari itu dengan slot-slot kemahiran buat guru-guru pembimbing berkenaan PROTUNe secara menyeluruh seperti cara untuk mewujudkan syarikat, mencipta produk serta memilih pelajar yang sesuai untuk menguruskan syarikat.

Selain itu, kursus ini berakhir dengan ucapan penutupan yang disampaikan oleh wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK), Encik Hasnizam bin Zakaria yang mengucapkan penghargaan buat guru-guru yang hadir bagi sesi kursus disamping menekankan kepada para guru berkenaan dengan sistem yang digunapakai oleh JPN dalam menyelaraskan portfolio mereka.