Majlis ini adalah bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan kutipan zakat di dalam Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang mana sebelum ini, PKNK dan anak-anak syarikat PKNK yang berkemampuan, telah menunaikan kewajipan berzakat dengan membayar zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Walaubagaimanapun, pembayaran zakat perniagaan ini dilakukan secara berasingan dan tidak dilaksanakan secara berpusat atau secara berkumpulan di bawah PKNK.

Melalui pelantikan sebagai agen kutipan zakat ini, satu kerjasama strategik dapat diwujudkan di antara Kumpulan PKNK dalam melaksanakan program-program agihan semula zakat dalam Kumpulan PKNK dan seterusnya mengeratkan lagi persefahaman dengan LZNK yang mana akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak seterusnya dapat memberi sumbangan yang lebih signifikan kepada kerajaan serta rakyat negeri Kedah.

Ketua Pegawai Operasi PKNK serta Ketua Pegawai Eksekutif bagi 9 buah syarikat Kumpulan PKNK telah menyerahkan replika cek bayaran zakat kepada Y.Bhg Dato Ketua Pegawai Eksekutif PKNK dan seterusnya menerima sijil muzzakki daripada Y.Bhg Ketua Pegawai Eksekutif LZNK.

Seterusnya Y.Bhg Dato' Ketua Pegawai Eksekutif PKNK menyerahkan replika cek bayaran zakat Kumpulan PKNK berjumlah RM1,513,575.37 kepada Y.Bhg Ketua Pegawai Eksekutif LZNK.