Satu (1) program lawatan keusahawanan telah dianjurkan oleh Unit Keusahawanan iaitu Lawatan Keusahawanan Guru-Guru Pembimbing Dibawah Modul Pendedahan Bermaklumat Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2020 Peringkat Negeri Kedah, telahpun disertai oleh seramai 66 orang iaitu; 53 orang guru pembimbing dari 28 buah sekolah, tiga (3) wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) dan 10 orang urusetia dari PKNK. Lawatan ini dilaksanakan di bawah Modul Pendedahan Bermaklumat untuk memberi pendedahan kepada guru-guru pembimbing mengenai persekitaran sebenar dunia perniagaan disamping meningkatkan semangat keusahawanan dikalangan mereka untuk membimbing pelajar menjalankan perniagaan dalam syarikat PROTUNe.

Program lawatan tersebut bermula dengan para peserta berkumpul di perkarangan lobi Wisma PKNK pada jam 7.30 pagi. Sebanyak dua (2) buah unit bas telah disewa oleh Unit Keusahawanan untuk peserta lawatan bagi menjaga jarak dan sebagai mengikuti langkah prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Bas bergerak pada jam 8.00 pagi dan terus menghala ke destinasi yang pertama iaitu negeri Kelantan.

Pada 3 Oktober 2020 (Sabtu), Unit Keusahawanan telah menganjurkan satu (1) taklimat bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Taklimat tersebut diadakan di Dewan Seminar, hotel Perdana Kota Bharu, bertujuan untuk mengetahui pelaksanaan program PROTUNe di negeri pantai timur itu.

Disamping itu, para peserta lawatan juga dibawa ke kilang pembuatan dan perusahaan serunding yang merupakan milik usahawan dibawah bimbingan PKINK bagi meninjau kegiataan pernigaan yang dilakukan.

Seterusnya, peserta lawatan sempat berkunjung ke Kampung Kraftangan Kelantan yang menempatkan beberapa kiosk menjual barangan kraftangan tempatan seperti produk anyaman dan batik. Disitu juga, para peserta berkesempatan untuk melihat rumah contoh tradisional yang terdapat di Kelantan disamping menjamu selera di Restoran Nasi Ulam Cikgu yang popular dalam kalangan warga tempatan. Tambahan lagi, para peserta tidak melepaskan peluang untuk ke pasar yang sememangnya sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang itu iaitu Pasar Siti Khadijah. Disana, peserta lawatan boleh lihat dan belajar cara-cara untuk menjalankan perniagaan disamping mengambil kira produk-produk yang dijual.

Usai program di Kelantan, peserta lawatan bergerak ke negeri Terengganu pula. Disana, peserta lawatan menginap di Hotel Tanjong Vista yang berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu. Selepas daftar masuk hotel, peserta lawatan diberi taklimat ringkas berkenaan dengan aktiviti yang akan dijalankan di sana.

Pada 4 Oktober 2020 (Ahad), peserta lawatan dibawa melawat ke kilang pembuatan batik tempatan iaitu Kilang Kamis Batik Serada di Kuala Terengganu. Kilang yang terletak di dalam sebuah perkampungan itu, ternyata memberi suatu pengalaman yang luar biasa buat pengunjung. Hal ini kerana, para peserta dapat menyaksikan pembuatan batik secara langsung. Perusahaan batik yang dibuat di rumah pemilik kilang itu sendiri, turut menjalankan perniagaan kain batik disitu.

Sebelum berangkat pulang, para peserta juga berkesempatan untuk mengunjungi pasar yang terkenal di negeri itu iaitu Pasar Payang. Terletak tidak jauh dari lokasi berkumpul, pasar yang telah diubahsuai itu ternyata kelihatan lebih tersusun dan sistematik. Peserta lawatan dapat melihat bagimana peniaga-peniaga disitu dipisahkan mengikut kategori jualan seperti pakaian, makanan dan kraftangan disamping dapat menyaksikan bagaimana perniagaan dijalankan oleh peniaga tempatan.