Satu majlis Cabutan Undi Secara Online telah diadakan di Wisma PKNK pada 9 Julai 2020 yang lalu. Cabutan undi tersebut adalah untuk pemberian perojek di bawah Rangsangan Ekonomi dan People Centric PKNK. Cabutan undi tersebut disiarkan secara langsung melalui video langsung di Facebook dan laman web PKNK. Buat pertama kali majlis seumpama ini diadakan, berikutan wabak Covid-19 yang sedang menular. Disebabkan itu maka majlis sebegini dibuat atas faktor Prosedur Operasi Standard (S.O.P.) yang perlu dipatuhi. Proses cabutan undi-undi tersebut dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Ketua Pegawai Operasi PKNK, Pengurus Bahagian Teknikal PKNK, dan juga disertai oleh Pegawai-pegawai Penilai yang dijemput.

Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sungai Petani telah dibuka semula kepada orang ramai pada 15 Jun 2020 dan dianggarkan sejumlah lebih 900 pengunjung telah hadir ke UTC Sungai Petani bagi melaksanakan pelbagai urusan.  Kehadiran yang di luar jangkaan ini menyebabkan arahan penjarakkan sosial di luar bangunan UTC Sungai Petani sukar dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, keadaan terkawal di agensi-agensi kerajaan yang menjadi tumpuan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan  (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pengunjung diharap dapat bersabar dan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan semasa berurusan di UTC Sungai Petani.  Perlaksanaan SOP yang ditetapkan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

PKNK dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan domestik di Langkawi, hari ini telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Enfiniti (M) Sdn. Bhd. milik Tan Sri Effendi Norwawi dan Puan Sri Tiara Jacquelina bagi membangunkan semula Kampung Buku Langkawi dengan konsep "Legends of Langkawi". Diharapkan usaha ini dapat meningkatkan potensi sektor pelancongan di negeri Kedah dan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.

Program pengagihan sumbangan FOOD BOX PKNK” kini sedang giat dijalankan dengan kerjasama Skuad Prihatin PKNK. Program ini bertujuan untuk meringankan sedikit beban kepada penduduk sekitar negeri Kedah dari segi keperluan makanan harian.

Program sumbangan yang sedang giat diajalankan ini juga adalah sebagai sebahagian dari Sumbangan Korporat Sosial PKNK bersempena dengan bulan Ramadhan. Selain itu, sumbangan tersebut juga adalah untuk golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik, ketika wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Sumbangan yang berbentuk barangan makanan asas itu diserahkan terus kepada penerima di kediaman masing-masing, melalui ahli-ahli Skuad Prihatin PKNK yang bertungkus lumus demi memastikan sumbangan-sumbangan ini terus sampai kepada mereka yang memerlukan.