Puan Hanisah Binti Baharum, Ketua Unit Keusahawanan, PKNK telah membuat lawatan pemantauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 8, Sik Kedah Darul Aman. Lawatan ini bertujuan memantau dan melihat aktiviti keusahawanan di sekolah ini.  Di samping itu juga, lawatan ini untuk berbincang dengan Guru Besar dan Guru Pembimbing berkaitan cadangan penambahbaikan bagi Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2020. Perbincangan memfokuskan kepada produk kreatif dan bagaimana pihak sekolah cuba bersaing memasarkan produk mereka agar dikenali di pasaran. Selain daripada itu, Ahli Lembaga Pengarah PROTUNe juga perlu mempunyai daya kreativiti dan inovasi dalam mencipta produk yang mempunyai kelainan dan keunikan untuk bersaing secara sihat di pasaran.

Satu (1) kursus telah dianjurkan oleh Unit Keusahawanan iaitu Kursus ‘Training of Trainers’ (TOT) Kepada Guru Pembimbing Program PROTUNe 2020 Peringkat Negeri Kedah, telahpun berjaya mengumpulkan sebanyak 30 buah sekolah beserta penyertaan seramai 56 orang guru-guru pembimbing dari sekolah-sekolah serata negeri Kedah. Kursus ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada guru-guru pembimbing yang mengelola syarikat-syarikat Program Tunas Niaga (PROTUNe) di sekolah tentang pelaksanaan program ini secara menyeluruh agar matlamat pelaksanaannya untuk menanam semangat keusahawanan, jatidiri dan berdikari dalam kalangan generasi muda dapat tercapai dengan jayanya. 

Kursus tersebut dimulakan dengan penyampaian ucapan aluan dan perasmian oleh Puan Anita binti Salleh, Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan PKNK. Unit Keusahawanan telahpun melantik Encik Mohd Ariffin bin Ibrahim selaku fasilitator daripada Idola Global Academy yang telahpun menyambung kursus pada hari itu dengan slot-slot kemahiran buat guru-guru pembimbing berkenaan PROTUNe secara menyeluruh seperti cara untuk mewujudkan syarikat, mencipta produk serta memilih pelajar yang sesuai untuk menguruskan syarikat.

Selain itu, kursus ini berakhir dengan ucapan penutupan yang disampaikan oleh wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK), Encik Hasnizam bin Zakaria yang mengucapkan penghargaan buat guru-guru yang hadir bagi sesi kursus disamping menekankan kepada para guru berkenaan dengan sistem yang digunapakai oleh JPN dalam menyelaraskan portfolio mereka.

Majlis Sumbangan Zakat kepada Sekolah Kebangsaan Sik telah diadakan pada 11 Februari yang lalu. Majlis yang diadakan di Dewan SK Sik itu dimulakan dengan acara menyambut ketibaan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Haji Abdul Rahman bin Abdullah serta pegawai-pegawai dari PKNK diiringi oleh Pengetua dan Guru-guru sekolah tersebut. Majlis tersebut adalah sebahagian dari program Korporat Sosial PKNK dalam menghulurkan bantuan kepada pihak-pihak yang kurang bernasib baik dan memerlukan, samada dalam bentuk sumbangan zakat, sumbangan tenaga sukarela atau dalam bentuk material.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN-PKEN) Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Nasional 2019 pada 13 hingga 16 Februari 2020 di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Kampus Induk Pauh Putra, Perlis. Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah membawa sebanyak enam buah sekolah dari pelbagai daerah untuk bersama-sama menyertai konvensyen tersebut seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, Sekolah Menengah Agama Yan, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap dan Maktab Mahmud Alor Setar.

Bagi konvensyen kali ini, negeri Kedah diwakili oleh SMK Kuala Nerang melalui syarikat mereka iaitu Syarikat Chicha Spring Sdn. Bhd., yang menawarkan produk balm panas yang diproses menggunakan herba tradisional yang merangkumi minyak zaitun, halia serta bahan utama produk mereka iaitu Bunga Chicha. Bunga ini amat popular dalam kalangan penduduk negeri Kedah kerana sering dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut iaitu Lepat Bunga Chicha.

Selain itu, konvensyen PROTUNe bagi tahun 2019 ini disertai oleh 8 buah sekolah yang mewakili negeri Sarawak, Sabah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah. Terdapat banyak kategori yang dipertandingkan sepanjang tempoh konvensyen berlangsung seperti Booth Terbaik, Laporan Terbaik, Anugerah Produk Terbaik, Perkhidmatan Terbaik, Pengurus Syarikat Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Persembahan Terbaik, Syarikat Terbaik serta Anugerah Khas Pelaksana PROTUNe. SMK Kuala Nerang berjaya mendapat Johan bagi kategori Anugerah Produk Terbaik dengan membawa pulang piala, sijil serta wang tunai berjumlah RM 700.00. Disamping itu, bagi kategori Guru Pembimbing Terbaik berjaya dimenangi oleh cikgu Wan Nor Hadibah dari Sekolah Menengah Agama Yan yang membawa pulang piala, sijil serta cenderamata dari pihak penganjur.

Majlis Menandatangani Memorandum (MOU) antara KXP Airport dan ADP Ingenierie telah diadakan di Blok E, Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 10 Februari 2020 yang lalu. Majlis tersebut diadakan sebagai menandakan termeterainya perjanjian di antara kedua-dua pihak berhubung dengan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang bakal dijalankan. KXP Airport City Holdings Sdn. Bhd.  selaku anak syarikat PKNK telah mengikat kontrak bersama Aeroport De Paris Ingenierie, iaitu syarikat konsultan yang terkemuka dari Perancis dalam projek berkenaan. Turut diadakan dalam majlis itu sesi penyerahan kontrak kepada syarikat-syarikat yang terpilih yang mempunyai kepakaran berkaitan projek tersebut. Majlis turut dihadiri oleh Ketua-ketua agensi di negeri Kedah serta ketua-ketua jabatan. Diharapkan dengan terlaksananya projek ini akan menjadi mercu tanda baharu di negeri Kedah serta dapat memacu ekonomi di negeri ini.