Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN-PKEN) Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Nasional 2019 pada 13 hingga 16 Februari 2020 di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Kampus Induk Pauh Putra, Perlis. Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah membawa sebanyak enam buah sekolah dari pelbagai daerah untuk bersama-sama menyertai konvensyen tersebut seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, Sekolah Menengah Agama Yan, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap dan Maktab Mahmud Alor Setar.

Bagi konvensyen kali ini, negeri Kedah diwakili oleh SMK Kuala Nerang melalui syarikat mereka iaitu Syarikat Chicha Spring Sdn. Bhd., yang menawarkan produk balm panas yang diproses menggunakan herba tradisional yang merangkumi minyak zaitun, halia serta bahan utama produk mereka iaitu Bunga Chicha. Bunga ini amat popular dalam kalangan penduduk negeri Kedah kerana sering dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut iaitu Lepat Bunga Chicha.

Selain itu, konvensyen PROTUNe bagi tahun 2019 ini disertai oleh 8 buah sekolah yang mewakili negeri Sarawak, Sabah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah. Terdapat banyak kategori yang dipertandingkan sepanjang tempoh konvensyen berlangsung seperti Booth Terbaik, Laporan Terbaik, Anugerah Produk Terbaik, Perkhidmatan Terbaik, Pengurus Syarikat Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Persembahan Terbaik, Syarikat Terbaik serta Anugerah Khas Pelaksana PROTUNe. SMK Kuala Nerang berjaya mendapat Johan bagi kategori Anugerah Produk Terbaik dengan membawa pulang piala, sijil serta wang tunai berjumlah RM 700.00. Disamping itu, bagi kategori Guru Pembimbing Terbaik berjaya dimenangi oleh cikgu Wan Nor Hadibah dari Sekolah Menengah Agama Yan yang membawa pulang piala, sijil serta cenderamata dari pihak penganjur.