Satu (1) program taklimat telah dianjurkan oleh Bahagian Keusahawanan iaitu Taklimat Kepada Pengetua Sekolah Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Kedah Bagi Tahun 2021, telahpun berjaya mengumpulkan 42 orang peserta yang terdiri daripada; 29 orang Pengetua dari 29 buah sekolah, sembilan (9) orang pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah dan empat (4) orang wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Program taklimat yang dijalankan selama dua hari ini adalah bertujuan untuk memberi maklumat yang jelas berkenaan dengan Program PROTUNe disamping memberi penerangan berkenaan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan semasa tempoh program PROTUNe yang lalu. 

Program tersebut dimulakan dengan penyampaian ucapan perasmian oleh Puan Hajah Hanisah binti Baharum, Pengurus Bahagian Keusahawanan dan dirasmikan oleh Yang Berusaha, Tuan Haji Ahmad Shukri bin Shafie, Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Kedua-dua mereka menyampaikan tentang kepentingan program PROTUNe kepada para pengetua sekolah.

Selain itu, satu (1) majlis makan malam turut diadakan pada 19 Mac 2021 (Jumaat) dan Bahagian Keusahawanan telah menjemput Encik Amir Asyraf dan Encik Quzaimir dari EMZI Holding Sdn Bhd. bagi berkongsi pengalaman mereka sebagai usahawan di bawah bimbingan PKNK dalam slot ‘Success Story’.

Taklimat PROTUNe 2021 telah disampaikan oleh Puan Hajah Hanisah binti Baharum, Pengurus Bahagian Keusahawanan yang telah memberi pendedahan kepada para pengetua sekolah berkenaan dengan kepentingan Program Tunas Niaga secara menyeluruh dan impak yang diberikan kepada para pelajar dan sekolah masing-masing. Sesi yang terakhir adalah sesi perbincangan/ post mortem yang dikendalikan oleh Encik Hasnizam bin Zakaria, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bagi mengupas isu-isu berkenaan dengan program PROTUNe dan kesan program tersebut terhadap merit kokurikulum pelajar-pelajar dan sekolah.