Perbadanan telah menerima kunjungan delegasi JPM yang terdiri daripada YBhg. Dato’ Jamil Bin Rakon, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) dalam siri lawatan rasmi JPM ke projek-projek pembangunan di Kedah dan Pulau Pinang. Lawatan rasmi delegasi JPM kali ini ke projek Menaiktaraf Medan Selera Untuk Usahawan Bumiputera di Taman Ria Sungai Petani, Kedah. Bersama YBhg. Dato TKSUK JPM, lawatan rasmi ini turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan JPM iaitu En Jazmanie Bin Shafawi, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan En Adila Sabri Bin Muhammad, dan beberapa orang lagi pegawai-pegawai daripada JPM.

Tepat jam 11.08 pagi, kunjungan daripada pihak JPM tiba di tapak projek dan disambut oleh pihak PKNK yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif PKNK Tuan Syed Yussof Bin Syed Othman,  bersama Ketua Pegawai Operasi PKNK Tuan Ir. Ahmad Shukri Bin Abu Bakar, dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan Puan Anita Binti Salleh. Turut menyambut ketibaan pihak JPM di tapak projek termasuk pegawai-pegawai PKNK yang lain daripada Bahagian Pembangunan Perniagaan, Bahagian Teknikal dan juga Bahagian Pengurusan Kompleks dan Penyewaan selain barisan perunding projek dan pihak kontraktor.

Seterusnya delegasi daripada JPM dibawa melawat ke tapak dan diberi penerangan berkaitan pelaksanaan projek oleh En Muhammad Zuhairi Bin Muhamad Nor selaku Pengurus Teknikal PKNK. YBhg. Dato’ TKSUK sempat melawat sekitar kawasan projek yang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka akan dapat disiapkan pada penghujung tahun 2021 nanti.

Seterusnya para delegasi JPM dibawa ke Taman Halal Kedah bagi sesi taklimat projek. Terdahulu di Taman Halal Kedah para delegasi JPM disambut dan dijemput melawat ruang pameran produk-produk usahawan Taman Halal Kedah. Majlis taklimat bagi lawatan rasmi YBhg. Dato TKSUK JPM ini turut disertai para pegawai PKNK daripada Bahagian Keusahawanan, Unit Komunikasi Korporat dan juga Unit Teknologi Maklumat.

Sesi taklimat dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Tuan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK. Majlis seterusnya diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada YBhg. Dato’ TKSUK JPM sebagai tanda penghargaan PKNK atas lawatan rasmi pihak JPM ke projek pembangunan yang dilaksanakan oleh PKNK. Majlis diteruskan dengan penyampaian taklimat secara terperinci berkaitan pelaksanaan projek Medan Selera Taman Ria oleh En Muhammad Zuhairi Bin Muhamad Nor.

Selesai taklimat, majlis telah sampai ke penghujungnya di mana para delegasi JPM dihidangkan jamuan makan tengah hari yang telah disediakan oleh pihak hotel The Jerai Sungai Petani. Sebagai tanda kenang kenangan, sebelum keberangkatan pulang delegasi JPM, sesi fotografi diadakan di laluan masuk ruang hadapan Taman Halal Kedah. Alhamdulillah pada jam 1.35 petang majlis telah sampai ke penghujungnya..Sekian.