Satu lawatan kerja ke Abu Dhabi dan Dubai telah diadakan sempena dengan penglibatan PKNK di dalam Ekspo 2020 Dubai yang merupakan ekspo antarabangsa yang terbesar di dunia yang dianjurkan dalam tempoh lima (5) tahun sekali dan penganjuran ekspo ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu merupakan penganjuran yang pertama kali diadakan di Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan. Penganjuran World Expo 2020 Dubai ini diadakan selama enam (6) bulan bermula pada 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 bertempat di Dubai Exhibition Centre di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Penyertaan Malaysia di dalam World Expo 2020 Dubai pada tahun ini diketuai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) selaku agensi pelaksana. Pihak MGTC dalam penyelarasan pelaksanaan penyertaan Malaysia di dalam Ekspo 2020 Dubai pada kali ini telah melantik pihak Northern Corridor Implementation Agency (NCIA) bagi menyelaras penyertaan di bawah Malaysia Pavilion pada Minggu 8 yang bertemakan 'NORTHERN CORRIDOR ECONOMIC REGION : YOUR PREFERRED INVESTMENT DESTINATION IN MALAYSIA' yang telah berlangsung pada 21 hingga 27 November 2021.

PKNK telah menjadi salah satu agensi di bawah Delegasi Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai oleh YAB Dato' Seri Menteri Besar Negeri Kedah. Anak syarikat milik penuh PKNK iaitu Kulim Hi-Tech Park juga telah menjadi sebahagian daripada delegasi ini.

Penglibatan PKNK di dalam Ekspo 2020 Dubai ini dan juga lawatan kerja ini merupakan inisiatif misi galakan perdagangan dan pelaburan oleh PKNK bagi mempromosikan dan menarik pelaburan yang berpotensi dari negara Timur Tengah ke Negeri Kedah. Delegasi Kerajaan Negeri Kedah telah bekerjasama dengan pihak Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Pejabat Timur Tengah, dan NCIA telah mengatur lawatan ke beberapa kawasan perindustrian dan perladangan utama seperti Zonecorp dan Ladang Al Ain di Abu Dhabi dan telah mengaturkan beberapa mesyuarat dengan syarikat pelabur yang berpotensi untuk melabur di Negeri Kedah.

PKNK juga telah mempromosikan kawasan perindustrian Kedah Science Technology Park (KSTP) dan juga projek pelancongan dalam sektor hartanah di Pulau Langkawi yang diberi nama 'GAIA Sanctuary Langkawi'.

PKNK telah diwakili oleh dua (2) orang Ahli PKNK iaitu YB Azman bin Nasrudin dan juga Tuan Saharuddin bin Sarwan, serta empat (4) orang pegawai PKNK iaitu Puan Anita binti Salleh, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan, Encik Khalid bin Salleh, Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran dan Jualan, Encik Mohd Johar bin Jahaya, Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan dan juga Puan Kamariah binti Mohd Fisol, Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan PKNK.