21 Disember 2021, Selasa - Satu (1) sesi latihan telah diadakan anjuran bersama Bahagian Keusahawanan, Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Obihiro Chamber of Commerce and Industry (OCCI) dibawah program Kedah Food Valley (KFV).
Bagi sesi bulan ini, para peserta diberi pendedahan berkenaan dengan proses penghasilan produk-produk tenusu dan makanan proses khususnya di daerah Tokachi, Jepun, disamping teknologi rawatan sisa air bagi industri penternakan.

Slot pertama telah dibentangkan oleh Encik Norio Sekibe dari syarikat Tokachino Fromages dan Encik Shinya Shimizu dari syarikat Country Home Fukei. Syarikat Tokachino Fromages merupakan syarikat penternakan lembu bagi penghasilan produk-produk tenusu khususnya susu lembu dan keju. Encik Norio Sekibe membentangkan berkenaan dengan proses penternakan yang dilakukan, jumlah penghasilan susu yang diperoleh disamping proses penghasilan keju mereka. Sementara itu, syarikat Country Home Fukei pula adalah syarikat yang menghasilkan pelbagai produk makanan yang menggunakan produk tenusu seperti susu segar, keju, ais krim dan yogurt. Syarikat mereka membeli susu segar dari ladang-ladang penternakan sebelum memproses menjadi produk-produk mereka untuk dijual bukan sahaja di pasaraya lokal malah di seluruh Jepun.

Selain itu, slot kedua pula membincangkan berkenaaan dengan teknologi rawatan sisa air bagi industri penternakan. Slot ini dibentangkan oleh Presiden Syarikat ACT iaitu Presiden Hiroshi Uchiumi. Beliau menerangkan berkenaan dengan mesin yang dicipta oleh syarikat mereka iaitu ‘Clean Refre’. Mesin yang menghasilkan asid hipoklorus itu direka bagi menangani penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan virus influenza pada mulanya, telahpun berjaya dimanfaatkan bagi kegunaan aktiviti penternakan. ‘Clean Refre’ bukan sahaja digunakan untuk mengsanitasi bangsal tetapi juga untuk mengurangkan bau bangsal disamping suhu badan lembu-lembu ternakan yang memberi impak dalam pertambahan penghasilan susu. Penggunaan asid hipoklorus juga adalah terbukti selamat untuk digunakan terhadap haiwan ternakan dan manusia.

Slot terakhir adalah makanan yang telah diproses di Tokachi iaitu tauhu. Slot ini dibentangkan oleh Presiden Syarikat Nakata Food iaitu Presiden Taketoshi Kido. Selain dari memproses sendiri kacang soya sehingga menjadi tauhu, syarikat tersebut telah menggunakan biji kacang soya yang ditanam di daerah Tokachi, yang dipercayai mempunyai rasa yang lebih manis berbanding kacang soya yang lain. Syarikat yang menghasilkan dan menjual pelbagai produk tauhu itu juga dalam usaha untuk membangunkan produk tauhu yang boleh dimakan oleh Muslim disamping turut menggunakan asid hipoklorus bagi kerja-kerja disinfeksi bagi mengekalkan kebersihan kilang dan produk-produk. Sebelum sesi soal jawab, para peserta berpeluang untuk melawat kilang mereka dan menyaksikan sendiri penghasilan tauhu-tauhu tersebut secara dalam maya.