Sepanjang bulan Ramadhan ini, aktiviti dan program tetap berjalan seperti biasa, dan sempena bulan yang penuh berkat ini, Puan Anita Salleh, Ketua Pegawai Operasi PKNK, telah mengadakan beberapa siri Kunjung Hormat bagi mengeratkan lagi hubungan baik di antara PKNK dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Kunjungan hormat dan perbincangan yang pertama telah diadakan kepada Y. Bhg. Puan Sharifah Hamidah binti Syed Harun, Ahli PKNK yang mewakili Kementerian Kewangan (MOF) dan kepada Y. Bhg. Tuan Saharuddin bin Sarwan, Ahli PKNK yang mewakili Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) . Pertemuan ini menfokuskan kepada isu-isu yang memerlukan perhatian khusus daripada pihak MOF dan EPU, JPM.

Kunjungan hormat dan perbincangan kedua adalah kepada Y. Bhg. Puan Norazlin binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan isu-isu perjawatan dan pengstrukturan PKNK.

Kunjungan hormat dan perbincangan yang ketiga adalah kepada Y. Bhg. Dr. Hj. Nadzman bin Mustaffa, YDP Majlis Perbandaran Kulim. Pertemuan ini adalah susulan perbincangan mengenai cadangan menaiktaraf Kawasan Perindustrian Kulim (KIE) dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

Kunjungan hormat dan perbincangan seterusnya kepada Y. Bhg. Tuan Aziz bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Pertemuan ini lebih menfokuskan kepada potensi-potensi kolaborasi antara Perbadanan wilayah utara dan juga perbincangan penanda aras bagi sektor perniagaan anak-anak syarikat serta peluang-peluang baru yang boleh diterokai secara bersama.

Kunjungan hormat juga dilakukan kepada Y. Bhg. Dato' Mohamad Che Nai, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah, yang sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar Pentadbiran di PKNK.