14 November 2022 , Alor Setar - Kontinjen PKNK diketuai oleh Encik Muhammad Zuhairi bin Dato’ Muhamad Nor akan menyertai perlawanan Kejohanan Sukan Gemaputera XVI bagi tahun 2022 dimana negeri Terengganu Darul Iman menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini.

Kejohanan ini bukan sahaja diwakili oleh warga kerja PKNK malah turut diwakili kakitangan Syarikat Kumpulan PKNK.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg Dato, Syed Yussof bin Syed Othman, Ketua Pegawai Eksekutif PKNK. Beliau berkata, “ Misi kita pada kali ini ialah untuk meraih kedudukan yang lebih baik berbanding edisi tahun lalu”. Beliau juga mengharapkan PKNK mampu meraih lebih banyak pingat seperti yang disasarkan pengurus-pengurus pasukan dan para atlit dapat menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mencapai prestasi yang terbaik.

“ Majlis ini bukan sekadar simbolik namun bendera PKNK yang akan diserahkan sebentar lagi merupakan manifestasi harapan daripada seluruh pihak pengurusan PKNK dan Syarikat Kumpulan PKNK kepada kontinjen untuk memberikan sumbangan terbaik melalui penyertaan dalam kejohanan sukan ini”

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Perasmian Penyerahan Bendera Kontinjen bersempena Kejohanan Sukan Gemaputera XVI , Terengganu yang bertempat di Wisma PKNK, hari ini.

Hadir bersama Ketua Pegawai Operasi PKNK, Puan Anita binti Salleh , Ketua Pegawai Korporat PKNK, Puan Maheran binti Manan serta pemain-pemain dari Syarikat Kumpulan PKNK.

Majlis tersebut disempurnakan dengan penyerahan Kit Kelengkapan Sukan kepada setiap pemain yang mewakili PKNK bagi menyertai kejohanan tersebut.

Bacaan ikrar kejohanan telah dipimpin oleh Encik Abdul Malik bin Samsudin yang merupakan figura istimewa PKNK. Seorang bekas pemain sepak takraw yang mewakili Malaysia di Sukan Asia dan Sukan SEA dengan membawa pulang pingat Emas dan Perak sekitar tahun 1987 hingga 1994. Kini beliau mewakili PKNK bagi acara Tenpin Bowling.