15 Disember 2022, Alor Setar - Majlis Perasmian Lobi Utama PKNK dan Karnival Usahawan Puspa Suri telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Syed Yussof bin Syed Othman (Ketua Pegawai Eksekutif, PKNK). Sebelum tahun 2022 melabuhkan tirai, dalam ucaptamanya YBhg. Dato’, turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang telah memberikan komitmen yang amat tinggi dalam menjalankan tugas bersama-sama mengharungi kemelut cabaran kesihatan yang tidak menentu dan bekerja dengan cemerlang meskipun masih bergelut dengan cabaran getir Covid-19 sejak kepimpinan beliau.

“ Semangat yang telah ditonjolkan oleh wargakerja PKNK sebagai satu pasukan dalam memberikan perkhidmatan secara professional dan penuh keikhlasan telah membuahkan hasil di mana projek lobi yang berusia 37 tahun telah berjaya disiapkan dalam masa 4 bulan bagi keselesaan kepada pelanggan yang berurusan di Wisma PKNK. Dalam pada itu pengubahsuaian fasiliti Dewan Ukir Mall untuk sewaan orang awam juga turut diperbaharui dengan reka bentuk lebih moden dan aestetik.”

“ Semasa pasca pandemik pada tahun ini PKNK turut menyumbangkan bekalan makanan dan pakaian sekolah bagi program Back to School kepada golongan asnaf dan fisabilillah. Terkini PKNK berjaya menyiapkan projek pembaikan rumah-rumah mangsa bencana ribut taufan di Bandar Baru Beris Jaya, Sik. PKNK turut menyokong program-program Kerajaan Negeri Kedah seperti MAHA 2022, HPPNK 2022, KHF 2022 dan penaja tahunan bagi Istiadat Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan”.

Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan pelajar cilik SK Sultanah Asma dan pertandingan The King Teh Tarik Battle antara wargakerja PKNK. Keriuhan dan kemeriahan pertandingan memecah suasana majlis tersebut dengan pelbagai aksi menarik dan diluar jangkaan juri malah penonton yang hadir turut turut terpegun dengan persembahan tersebut. Encik Parkir Mohammad dari Popia Jamal selaku juri turut membuat persembahan pembuka tirai pertandingan.

Turut hadir YBhg. Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah, Datin Noorhasni binti Ishak, YBhg. Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah, Datin Noor Afza binti Osman , YBhg. Pengerusi PUSPANITA PKNK, Datin Noorhayati binti Ismail, YBrs. Tuan Hj Hakim Ariff bin Md Noor dan YBrs. Puan Anita binti Salleh, Ketua Pegawai Operasi PKNK.