Halal Business Success Example and Tokachi’s Tourism; Tourism Industry in Tokachi & Obihiro Tourism Convention Association Initiatives, Good Examples of Agrotourism And Good Examples of Hands-On Experience Based Tourism
Satu (1) sesi latihan telah diadakan anjuran bersama Bahagian Keusahawanan, Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Obihiro Chamber of Commerce and Industry (OCCI) dibawah program Kedah Food Valley (KFV).
Bagi sesi bulan ini, para peserta diberi pendedahan berkenaan dengan produk-produk halal yang diusahakan oleh daerah Tokachi, Jepun. Slot pertama telah dibentangkan oleh Encik Higashi yang merupakan wakil dari syarikat Yotsuba. Syarikat yang menghasilkan produk-produk tenusu seperti susu dan keju itu merupakan syarikat yang pertama yang mempunyai sijil HALAL. Syarikat tersebut menggunakan susu dari daerah Hokkaido sebelum diproses di kilang mereka yang terletak di Tokachi. Produk-produk mereka juga dipasarkan di pasaraya-pasaraya seluruh Jepun. Sementara itu, Encik Hiroyuki Komano yang merupakan Presiden syarikat Tokachi Seika pula menghasilkan produk manisan halal. Menariknya, antara produk yang dihasilkan adalah kuih “wagashi” yang dieksport ke Malaysia dan boleh didapati di pasaraya-pasaraya AEON seluruh Malaysia. Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2012 di perkampungan Nakasatsunai itu menggunakan teknik pembekuan dalam proses mengeksport “wagashi” tersebut selain daripada menggunakan bahan-bahan yang halal. Tambahan lagi, syarikat ini mengambil rakyat Malaysia untuk bekerja sebagai pekerja kawalan kualiti bagi memastikan kualiti “wagashi” keluaran mereka adalah halal dan terjamin. Mereka juga berhasrat untuk membuka satu kilang khas bagi menghasilkan lebih banyak produk halal yang bukan sahaja untuk dieksport ke luar negara seperti Indonesia dan negara-negara Timur Tengah, tetapi juga didalam negara Jepun sendiri atas permintaan yang semakin tinggi terhadap produk halal.
Selain itu, slot kedua pula membincangkan aktiviti pelancongan yang terdapat di daerah Tokachi. Slot yang dibentang oleh Encik Sakurai, Sekretariat Agung Pusat Konvensyen Pelancongan Obihiro, menceritakan tentang tempat dan aktiviti tarikan utama bagi daerah itu yang merangkumi aktiviti pelancongan dalam taman, pertanian dan gastronomi. Tokachi merupakan daerah yang tidak bersalji walaubagaimanapun, suhu di daerah itu mampu mencecah sehinga -20ºC terutamanya pada bulan Januari dan Februari. Ketika musim sejuk, bandar Toyokoro yang terletak berhampiran dengan pantai akan mengalami fenomena unik yang dikenali sebagai “Jewellery Ice”. Kejadian ais batu yang jernih berkumpul di persisiran pantai itu kelihatan seperti kaca dan merupakan antara tarikan di musim sejuk.
Pelancongan dalam taman merupakan satu bentuk pelancongan yang kian berkembang yang melibatkan seseorang individu untuk melawat taman botani dan tempat-tempat yang memaparkan kehidupan tumbuhan tempatan. Di Hokkaido, usaha kerajaan yang paling menonjol dalam pelancongan taman ialah “Hokkaido Garden Path”. Taman ini dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan dan flora yang menarik untuk tatapan pengunjung. Taman yang kedua pula ialah “Tokachi Hills”, yang terletak di bandar Makubetsu. Taman ini menggunakan konsep taman tema bunga-bungaan, makanan dan pertanian. Taman ini mempunyai sembilan (9) kawasan yang berbeza termasuk taman herba, taman bunga ros dan taman alfresco. Pengunjung boleh menikmati sajian yang dihasilkan menggunakan tanaman dan tumbuhan yang berada di taman tersebut disamping mendapatkan cuka herba buatan, cenderamata dan sayuran yang dijual di sana.
Pelancongan pertanian adalah aktiviti atau pengalaman yang melibatkan pertanian secara langsung seperti percutian di ladang, menuai tanaman, memerah susu lembu dan membuat keju. Syarikat Itadakimasu yang ditubuhkan pada tahun 2013 telahpun menjalankan kerjasama dengan petani tempatan bagi menawarkan lawatan dan aktiviti yang unik yang fokus kearah pertanian khususnya di Tokachi. Selain itu, ladang Oono “COWCOW Village” yang dibina sejak tahun 1986, terletak di bandar Memuro menempatkan ratusan ekor lembu yang diternak dengan menggunakan makanan sihat dan bebas dari bahan pengawet. Disana, pengunjung boleh menikmati santapan di restoran yang menawarkan pemandangan keseluruhan ladang itu. Pada tahun 2010 pula, ditengah-tengah ladang yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Nojima-sanchi, terdapat sebuah restoran yang dikelilingi oleh pemandangan flora yang indah. Restoran yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang Obihiro itu merupakan antara lokasi pilihan pengunjung untuk berehat sambal menikmati sajian yang disediakan khas menggunakan bahan-bahan tempatan.
Tambahan lagi, Tokachi turut menyediakan pelbagai tempat atau tapak perkhemahan untuk pengujung. Antara tapak yang paling popular yang telahpun mendapat sambutan bagi beberapa tahun ini adalah “Snow Peak Tokachi Poroshiri Campfield”. Tapak yang terletak di kaki gunung Hikada itu dijalankan oleh syarikat Snow Peak, iaitu pengeluar terbesar peralatan outdoor. Bagi penggemar basikal pula, terdapat satu kawasan yang dinamakan “Tokapuchi 400” iaitu laluan sepanjang 400km yang direka khas untuk mereka membuat kayuhan. Laluan khas itu juga diangkat sebagai “Japan’s National Cycle Routes”.
Sauna adalah sebuah bilik kayu yang diisi dengan suhu sekitar 70ºC hingga 100ºC untuk pengunjung berehat. Namun, yang menjadi tarikan disana ialah bilik sauna mereka yang dihasilkan dengan menggunakan tong wain yang membuatkannya unik. Pengunjung juga tidak ketinggalan untuk menyaksikan “Banei Horse Racing” yang merupakan satu-satunya perlumbaan kuda yang melibatkan kuda Banba berlari sejauh 200 meter sambil membawa kereta luncur besi di belakang mereka.