21 Disember 2021, Selasa - Satu (1) sesi latihan telah diadakan anjuran bersama Bahagian Keusahawanan, Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Obihiro Chamber of Commerce and Industry (OCCI) dibawah program Kedah Food Valley (KFV).
Bagi sesi bulan ini, para peserta diberi pendedahan berkenaan dengan proses penghasilan produk-produk tenusu dan makanan proses khususnya di daerah Tokachi, Jepun, disamping teknologi rawatan sisa air bagi industri penternakan.

Slot pertama telah dibentangkan oleh Encik Norio Sekibe dari syarikat Tokachino Fromages dan Encik Shinya Shimizu dari syarikat Country Home Fukei. Syarikat Tokachino Fromages merupakan syarikat penternakan lembu bagi penghasilan produk-produk tenusu khususnya susu lembu dan keju. Encik Norio Sekibe membentangkan berkenaan dengan proses penternakan yang dilakukan, jumlah penghasilan susu yang diperoleh disamping proses penghasilan keju mereka. Sementara itu, syarikat Country Home Fukei pula adalah syarikat yang menghasilkan pelbagai produk makanan yang menggunakan produk tenusu seperti susu segar, keju, ais krim dan yogurt. Syarikat mereka membeli susu segar dari ladang-ladang penternakan sebelum memproses menjadi produk-produk mereka untuk dijual bukan sahaja di pasaraya lokal malah di seluruh Jepun.

Selain itu, slot kedua pula membincangkan berkenaaan dengan teknologi rawatan sisa air bagi industri penternakan. Slot ini dibentangkan oleh Presiden Syarikat ACT iaitu Presiden Hiroshi Uchiumi. Beliau menerangkan berkenaan dengan mesin yang dicipta oleh syarikat mereka iaitu ‘Clean Refre’. Mesin yang menghasilkan asid hipoklorus itu direka bagi menangani penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan virus influenza pada mulanya, telahpun berjaya dimanfaatkan bagi kegunaan aktiviti penternakan. ‘Clean Refre’ bukan sahaja digunakan untuk mengsanitasi bangsal tetapi juga untuk mengurangkan bau bangsal disamping suhu badan lembu-lembu ternakan yang memberi impak dalam pertambahan penghasilan susu. Penggunaan asid hipoklorus juga adalah terbukti selamat untuk digunakan terhadap haiwan ternakan dan manusia.

Slot terakhir adalah makanan yang telah diproses di Tokachi iaitu tauhu. Slot ini dibentangkan oleh Presiden Syarikat Nakata Food iaitu Presiden Taketoshi Kido. Selain dari memproses sendiri kacang soya sehingga menjadi tauhu, syarikat tersebut telah menggunakan biji kacang soya yang ditanam di daerah Tokachi, yang dipercayai mempunyai rasa yang lebih manis berbanding kacang soya yang lain. Syarikat yang menghasilkan dan menjual pelbagai produk tauhu itu juga dalam usaha untuk membangunkan produk tauhu yang boleh dimakan oleh Muslim disamping turut menggunakan asid hipoklorus bagi kerja-kerja disinfeksi bagi mengekalkan kebersihan kilang dan produk-produk. Sebelum sesi soal jawab, para peserta berpeluang untuk melawat kilang mereka dan menyaksikan sendiri penghasilan tauhu-tauhu tersebut secara dalam maya.

Program Transformasi Minda (PTM) merupakan satu kursus yang diperkenalkan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam. PTM juga merupakan satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi.


Program kerjasama di antara PKNK dengan INSPIN diadakan pada 12 Disember 2021 hingga 16 Disember 2021, bertempat di The Jerai Hotel Alor Setar. Seramai 36 orang pekerja baharu lantikan tetap pelbagai gred jawatan telah menghadiri Program Transformasi Minda dengan jayanya. Program ini dibentuk bagi membolehkan pegawai memahami prinsip dan falsafah pembentukan negara, jentera pentadbiran kerajaan dan peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam serta pembentukan jati diri bagi menghadapi cabaran dan ekspektasi pelanggan. Majlis Perasmian Penutupan Program Transformasi Minda telah dilaksanakan pada 16 Disember 2021 dan disempurnakan oleh Y.Bhg Dato’ Haji Syed Yussof Bin Syed Othman, Ketua Pegawai Esekutif PKNK.

Satu lawatan kerja ke Abu Dhabi dan Dubai telah diadakan sempena dengan penglibatan PKNK di dalam Ekspo 2020 Dubai yang merupakan ekspo antarabangsa yang terbesar di dunia yang dianjurkan dalam tempoh lima (5) tahun sekali dan penganjuran ekspo ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu merupakan penganjuran yang pertama kali diadakan di Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan. Penganjuran World Expo 2020 Dubai ini diadakan selama enam (6) bulan bermula pada 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 bertempat di Dubai Exhibition Centre di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Penyertaan Malaysia di dalam World Expo 2020 Dubai pada tahun ini diketuai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) selaku agensi pelaksana. Pihak MGTC dalam penyelarasan pelaksanaan penyertaan Malaysia di dalam Ekspo 2020 Dubai pada kali ini telah melantik pihak Northern Corridor Implementation Agency (NCIA) bagi menyelaras penyertaan di bawah Malaysia Pavilion pada Minggu 8 yang bertemakan 'NORTHERN CORRIDOR ECONOMIC REGION : YOUR PREFERRED INVESTMENT DESTINATION IN MALAYSIA' yang telah berlangsung pada 21 hingga 27 November 2021.

PKNK telah menjadi salah satu agensi di bawah Delegasi Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai oleh YAB Dato' Seri Menteri Besar Negeri Kedah. Anak syarikat milik penuh PKNK iaitu Kulim Hi-Tech Park juga telah menjadi sebahagian daripada delegasi ini.

Penglibatan PKNK di dalam Ekspo 2020 Dubai ini dan juga lawatan kerja ini merupakan inisiatif misi galakan perdagangan dan pelaburan oleh PKNK bagi mempromosikan dan menarik pelaburan yang berpotensi dari negara Timur Tengah ke Negeri Kedah. Delegasi Kerajaan Negeri Kedah telah bekerjasama dengan pihak Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Pejabat Timur Tengah, dan NCIA telah mengatur lawatan ke beberapa kawasan perindustrian dan perladangan utama seperti Zonecorp dan Ladang Al Ain di Abu Dhabi dan telah mengaturkan beberapa mesyuarat dengan syarikat pelabur yang berpotensi untuk melabur di Negeri Kedah.

PKNK juga telah mempromosikan kawasan perindustrian Kedah Science Technology Park (KSTP) dan juga projek pelancongan dalam sektor hartanah di Pulau Langkawi yang diberi nama 'GAIA Sanctuary Langkawi'.

PKNK telah diwakili oleh dua (2) orang Ahli PKNK iaitu YB Azman bin Nasrudin dan juga Tuan Saharuddin bin Sarwan, serta empat (4) orang pegawai PKNK iaitu Puan Anita binti Salleh, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan, Encik Khalid bin Salleh, Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran dan Jualan, Encik Mohd Johar bin Jahaya, Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan dan juga Puan Kamariah binti Mohd Fisol, Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan PKNK.

12 Disember 2021 (Ahad): Bahagian Keusahawanan telah menerima satu kujungan hormat dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Lawatan ini diadakan susulan daripada lawatan Bahagian Keusahawanan ke PKNS pada 17 November 2021 yang lalu. Tujuan lawatan adalah untuk mendapatkan pendedahan dan perkongsian maklumat mengenai program yang ditawarkan oleh PKNK melalui Bahagian Keusahawanan, khususnya modul dan struktur, Kedah Halal Park.

Program pada hari itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Anita binti Salleh, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan diteruskan lagi dengan penyampaian taklimat berkenaan dengan pembangunan dan pengisisan di Kedah Halal Park oleh Encik Muhammad Zuhairi bin Dato’ Muhamad Nor, Pengurus Bahagian Teknikal.

Selain itu, delegasi dari PKNS yang sertai oleh Tuan Haji Suhaimi bin Haji Kasdon, Ketua Pegawai Operasi PKNS dan Tuan Haji Idris bin Ishak, Ketua Pegawai Korporat PKNS, turut dibawa melawat ke satu kilang di Kedah Halal Park iaitu kilang milik Emzi Holding Sdn Bhd. Disana, para peserta berkesempatan untuk meninjau sekitar kilang yang menjual pelbagai produk kesihatan itu . Seterusnya, delegasi dibawa melawat premis usahawan PKNK yang terletak di lot kedai Taman Ria, Sungai Petani iaitu Hello Pizza. Sejurus sampai, delegasi dijamu dengan piza buatan sendiri itu disamping menyaksikan tayangan montaj khas serta taklimat berkenaan dengan syarikat.

Sebagai penutup program, delegasi dibawa ke The Jerai Hill Resort, Gurun untuk makan tengahari disamping melihat salah satu aset PKNK yang sememangnya menjadi tarikan dan tempat tumpuan pelancong.

26 NOVEMBER 2021 , Jumaat - Mesyuarat Bersama Pejabat Tanah Dan Galian dan Pejabat Daerah dan Tanah Kedah telah diadakan pada 26 November 2021 bertempat di Hotel Bayview Langkawi. Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh Yang Berbahagia Dato’ Abdul Gafar Bin Yahya, DIMP., AMK., AMN., BCK., Timbalan Pengarah Tanah Dan Galian (Pembangunan) Negeri Kedah dan Yang Berusaha Puan Maheran Binti Manan, BCK., Ketua Pegawai Korporat PKNK.

Mesyuarat ini bertujuan bagi menyelesaikan isu-isu semasa tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan telah dihadiri oleh 30 orang wakil dari Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah serta pegawai-pegawai dan warga kerja Bahagian Hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah.