Tarikh             : 09 Mac 2019

Tempat           : Hutan Rekreasi Titi Hayun, Yan, Kedah

Ketua Unit Komunikasi Korporat PKNK bersama 18 orang warga kerja telah mengadakan lawatan ringkas ke Hutan Lipur Titi Hayun, Yan, Kedah. Lawatan pada 09 Mac yang lepas bertujuan meninjau kawasan di sekitar Hutan Lipur tersebut dalam persiapan pihak penganjur terlibat untuk acara Karnival Rekreasi Jerai Geopark. Karnival yang akan diadakan pada 15 hingga 17 Mac 2019 ini melibatkan sebahagian kawasan di bawah milik PKNK, di mana permohonan dibuat oleh pihak penganjur atas penggunaan kawasan tersebut, maka pertemuan antara wakil PKNK dan salah satu dari pihak penganjur telah dibuat dalam lawatan berkenaan. Antara penganjur yang terlibat dalam karnival tersebut adalah Jerai Geopark, Majlis Daerah Yan, Hammockers Malaysia serta salah satu penganjur dalam pertemuan dengan wakil PKNK dalam lawatan tersebut iaitu JomPiyan Outdoor Team.

 

 

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah mengadakan satu Majlis Serahan Bantuan Sumbangan Zakat Kepada Penduduk-Penduduk Di Kampung Pida Mukim Jerlun yang telah berlangsung pada 02 Mac 2019 (Sabtu) bertempat di Masjid Umar Al-Khattab, Kampung Pida 3. Majlis Serahan Bantuan Zakat tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PKNK dan diiringi oleh Puan Maisarah Fazilah, Ketua Unit Komunikasi Korporat.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNK ini diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk-penduduk di kampung tersebut yang kurang berkemampuan. PKNK mengagihkan zakat perniagaan 2018 berjumlah RM40,000.00 kepada 200 asnaf di Mukim Jerlun. Setiap penduduk yang berkelayakan telah menerima wang zakat berjumlah RM150.00 dan barangan runcit bernilai RM50.00.

Program Motivasi dan Sahsiah Diri untuk pelajar-pelajar tahun 6 bagi tahun 2019 telah diadakan pada 21 hingga 23 Februari 2019 bertempat di The Jerai Hotel, Sungai Petani, Kedah.  Program yang dijalankan selama 3 hari 2 malam ini dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti luar dan motivasi diri. Program ini merupakan Program Lestari Ilmu yang dianjurkan sendiri oleh PKNK dan diuruskan oleh Unit Komunikasi Korporat PKNK. PKNK menjalankan program lestari ilmu sepanjang tahun iaitu untuk pelajar-pelajar UPSR, PT3, SPM, STPM dan MUET bermula dari tahun 2008 hingga kini. Seramai 116 orang pelajar telah mengikuti program yang dilaksanakan ini yang terdiri daripada 5 buah sekolah yang terpilih iaitu SK Alor Melintang, SK Kepala Batas, SK Bukit Tampoi, SK Tunku Abdul Halim, SK Merbok (Pusat) dan juga anak-anak PKNK. Majlis Perasmian Penutupan telah dirasmikan oleh Encik Khalid bin Salleh, Pengurus Unit Komunikasi Korporat PKNK dan diiringi oleh Guru Besar SK Alor Melintang, Encik Misnadi bin Khalid serta wakil konsultan Smart Triple IQ, Ustaz Muhammad Azki Hafizi Bin Ibrahim.

 

 

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah mengadakan satu Majlis Serahan Bantuan Sumbangan Zakat Kepada Pelajar-Pelajar Yatim, Miskin Dan Asnaf yang telah diadakan pada 27 Februari 2019 bertempat di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Halim, Alor Setar, Kedah. Majlis Serahan Bantuan tersebut telah dirasmikan oleh Pengurus Unit Perhubungan Awam, Encik Khalid bin Salleh mewakili YBhg. Tuan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNK ini diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pelajar dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka. PKNK telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM5,100.00 kepada 51 pelajar yang kurang berkemampuan. Setiap pelajar telah menerima beg sekolah dan wang tunai sebanyak RM100 daripada PKNK.

Bengkel ini dijalankan pada 30 & 31 Januari 2019 yang menghimpunkan barisan Pengurusan Tertinggi PKNK bersama Pengurusan Tertinggi Anak Syarikat PKNK di Bilik Ukir 4, Tingkat 4, Wisma PKNK.

Bengkel ini merupakan lanjutan daripada Bengkel Pembentukan Halatuju Strategik Kumpulan PKNK yang telah diadakan pada 9 & 10 Oktober 2018 yang bertindak sebagai platform bagi membentangkan Draf Halatuju Strategik Kumpulan PKNK 2019-2023 dan juga Penyediaan Rancangan Tahunan Subsidiari 2019.

Bengkel ini dijalankan sebagai satu usaha PKNK dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antara semua Anak Syarikat PKNK sebagai satu Kumpulan PKNK dalam memacu dan meneraju ekonomi negeri Kedah.