Program Motivasi dan Sahsiah Diri untuk pelajar-pelajar tahun 6 bagi tahun 2019 telah diadakan pada 21 hingga 23 Februari 2019 bertempat di The Jerai Hotel, Sungai Petani, Kedah.  Program yang dijalankan selama 3 hari 2 malam ini dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti luar dan motivasi diri. Program ini merupakan Program Lestari Ilmu yang dianjurkan sendiri oleh PKNK dan diuruskan oleh Unit Komunikasi Korporat PKNK. PKNK menjalankan program lestari ilmu sepanjang tahun iaitu untuk pelajar-pelajar UPSR, PT3, SPM, STPM dan MUET bermula dari tahun 2008 hingga kini. Seramai 116 orang pelajar telah mengikuti program yang dilaksanakan ini yang terdiri daripada 5 buah sekolah yang terpilih iaitu SK Alor Melintang, SK Kepala Batas, SK Bukit Tampoi, SK Tunku Abdul Halim, SK Merbok (Pusat) dan juga anak-anak PKNK. Majlis Perasmian Penutupan telah dirasmikan oleh Encik Khalid bin Salleh, Pengurus Unit Komunikasi Korporat PKNK dan diiringi oleh Guru Besar SK Alor Melintang, Encik Misnadi bin Khalid serta wakil konsultan Smart Triple IQ, Ustaz Muhammad Azki Hafizi Bin Ibrahim.

 

 

Bengkel ini dijalankan pada 30 & 31 Januari 2019 yang menghimpunkan barisan Pengurusan Tertinggi PKNK bersama Pengurusan Tertinggi Anak Syarikat PKNK di Bilik Ukir 4, Tingkat 4, Wisma PKNK.

Bengkel ini merupakan lanjutan daripada Bengkel Pembentukan Halatuju Strategik Kumpulan PKNK yang telah diadakan pada 9 & 10 Oktober 2018 yang bertindak sebagai platform bagi membentangkan Draf Halatuju Strategik Kumpulan PKNK 2019-2023 dan juga Penyediaan Rancangan Tahunan Subsidiari 2019.

Bengkel ini dijalankan sebagai satu usaha PKNK dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antara semua Anak Syarikat PKNK sebagai satu Kumpulan PKNK dalam memacu dan meneraju ekonomi negeri Kedah.

Perarakan Kereta Berhias Sempena Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Disember 2018 (Selasa) bertempat di Medan Bandar Alor Setar. Perarakan kereta berhias tersebut telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah. Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) turut menyertai perarakan kereta berhias tersebut dan ‘SANG UKIR’ ialah nama yang diberi kepada kereta berhias PKNK. SANG UKIR telah mendapat perhatian istimewa dari para penonton yang merupakan terpanjang dan tertinggi di kalangan 21 lagi agensi yang turut serta menyertainya.

Perhimpunan Bulanan bagi bulan Januari tahun 2019 telah diadakan pada 06 Januari 2019 (Ahad) bertempat di Ruang Legar Wisma PKNK. Majlis tersebut dimulakan dengan Lagu Negara Ku, Lagu Negeri Kedah dan Lagu Perkhidmatan Awam. Majlis diteruskan dengan bacaan doa serta ucapan dan amanat oleh Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah, Ketua Eksekutif PKNK dan seterusnya menyampaikan zakat perniagaan PKNK kepada wargakerja PKNK yang layak.

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah mengadakan satu Majlis Serahan Bantuan Sumbangan Zakat Kepada Pelajar-Pelajar Yatim, Miskin Dan Asnaf yang telah diadakan pada 18 November 2018 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Kedah, Kedah. Majlis Serahan Bantuan tersebut telah dirasmikan oleh YB Encik Mohd Asmirul Anuar bin Aris dan diiringi oleh Ketua Eksekutif PKNK, Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah.

 

 

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNK ini diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pelajar dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka. PKNK telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM15,200.00 kepada 152 pelajar yang kurang berkemampuan. Setiap pelajar telah menerima beg sekolah dan wang tunai sebanyak RM100 daripada PKNK.